Sunday, February 27, 2011

BERITA HARIAN / Generasi lama, baru perlu cari titik persamaan perkasa Melayu

2011/02/28

Bangsa bermaruah mesti kukuhkan hak diperuntuk dalam Perlembagaan

UNGKAPAN  ‘takkan Melayu hilang di dunia’ mungkin tidak lagi bermakna satu masa nanti, sekiranya generasi baru bangsa majoriti bumi bertuah ini enggan meneruskan perjuangan mempertahankan hak yang selama ini dipelihara kemas Perlembagaan Persekutuan. 

Beberapa pemimpin veteran meluahkan kebimbangan terhadap kemunculan golongan yang melabel diri sebagai ‘Melayu liberal’ kerana majoriti kumpulan ini berasa bangsa Melayu tidak lagi perlu diberi sebarang merit atau perlindungan, dan perlu bersaing di pentas sama rata dengan bangsa lain.
Sukar untuk menyangkal pendapat kedua-dua golongan ini.
Generasi sebelum atau selepas merdeka yang turut terbabit secara langsung dalam proses pembangunan negara, sudah pasti bimbang dengan trend pemikiran generasi baru, yang lahir dan terus mengecap kemewahan pembangunan tanpa perlu bersusah payah. 

Manakala, generasi XY yang dilahirkan dalam suasana Malaysia serba mewah dan makmur, juga sudah pasti tidak faham mengapa perjuangan untuk bangsa perlu diteruskan, sedangkan semakin ramai mampu bersaing, malah bertindak lebih cemerlang daripada bangsa lain. 

Dilema kedua-dua kumpulan ini harus difahami dan ditangani dengan serius kerana pertembungan pendapat perlu mencapai satu titik persamaan bagi memastikan ungkapan Laksamana Hang Tuah ‘takkan Melayu hilang di dunia’ akan terus kekal selama-lamanya. 

Kumpulan yang perlu dibimbangi ialah golongan minoriti Melayu baru, yang menganggap diri mereka tidak memerlukan lagi tongkat dan bantuan untuk duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. 
Simposium Dilema Melayu baru-baru ini menyerlahkan pertembungan idea antara generasi lama dan baru ini, tetapi isu yang dibincang masih membabitkan soal perjuangan lama seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kuota 30 peratus Bumiputera, isu pendidikan negara dan pertikaian hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan. 

Isu kemunculan semakin ramai Melayu liberal juga dibincang dengan serius kerana keghairahan mereka menegur pelbagai dasar dan keputusan membabitkan kepentingan bangsa Melayu, tanpa menimbang impak yang mungkin berlaku. 

Golongan veteran yang hadir sebagai panel penceramah hanya mampu tersenyum melihat keghairahan bekas dan mahasiswa Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) bertanya soalan terutama membabitkan kuota 30 peratus Bumiputera yang tidak mencerminkan kedudukan majoriti bangsa Melayu, mengapa ‘kita’ terlalu berlembut dengan bangsa lain, dan mengapa bangsa Melayu terus berpecah. 

Bagaimanapun, kedua-dua kumpulan berbeza peringkat umur ini bersetuju atas satu perkara iaitu sudah tiba masa untuk bangsa Melayu tidak mengira puak, parti atau ideologi politik bersatu sebagai satu bangsa bermaruah dan mengukuhkan kedudukan sesuai dengan hak yang diperuntukkan Perlembagaan. 

Ramai bersetuju dengan Pengerusi Eksekutif Media Prima, Datuk Johan Jaafar, yang menegaskan bangsa Melayu telah memasuki abad ke-21, ia tidak lagi mampu untuk terus merintih dan meletakkan diri dalam pelbagai dilema. Sebaliknya, bangsa yang pernah dijajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun ini perlu memperkasakan diri dan menetapkan hala tuju masa hadapan yang lebih konkrit. 

Bangsa Melayu kita tidak kurang kehebatannya daripada bangsa lain, tetapi ramai antara kita ketepikannya. Sebaliknya ramai berasa bimbang, risau dan menganggap kita sentiasa menghadapi suasana yang cukup gawat. 

“Hakikat paling penting di sini ialah kita bukan lemah, tetapi gagal mengartikulasikan diri kita dan mewujudkan kekuatan sebenarnya yang seharusnya wujud di dalam diri setiap bangsa Melayu,” kata tokoh media ini. 

Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid pula meminta golongan muda tidak ‘tergila-gila’ marahkan kegagalan mencapai kuota 30 peratus yang ditetapkan DEB, kerana ia hanya angka. 

“Kita sebenarnya perlu melihat kepada angka lebih besar, 40 atau 50 peratus, kerana bangsa Melayu adalah penduduk majoriti tetapi kerana hanya melihat di permukaan maka kita sering terkeliru. 

“Contohnya, angka 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad asalnya bermakna ‘perfect vision’ (penglihatan sempurna) tetapi yang menterjemahkannya bercakap mengenai tahun, akhirnya kita hanya akan menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya. 

Tan Sri Isa Samad yang dikritik Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, atas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda yang didakwa memberi isyarat tidak sihat kepada pelaburan negara, tidak dapat menahan diri daripada menegur beberapa pegawai GLC yang memandang remeh perjuangan bangsa Melayu. 

Kini sudah wujud orang Melayu yang tidak sedar atau menolak (hakikat) bahawa mereka orang Melayu. Jika kumpulan ini dibiarkan tanpa ditegur, Melayu mungkin tidak hilang di dunia tapi Melayu ‘jenis’ apa yang akan wujud nanti. 

Apabila Melayu lemah atau Melayu diperkudakan oleh orang lain, maka orang Melayu akan kehilangan hak dan kedudukannya,” kata Isa. 

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula menegaskan, bangsa lain semakin kuat dan lantang kerana mereka sentiasa mencari jalan untuk memastikan hak mereka sebagai bangsa Malaysia tidak diperlekehkan. 

“Sudah tiba masa bangsa Melayu sebagai pribumi mengambil tindakan yang sama. Jangan mendabik dada dengan kedudukan majoriti pada lebih 60 peratus kerana peratusan bangsa lain juga semakin bertambah dengan serius. 

Jangan lagi percaya kepada kata-kata Hang Tuah - ‘Takkan hilang Melayu di dunia’ kerana jika Melayu tiada jati diri dan nilai hidup yang baik, orang Melayu akhirnya akan lenyap,” katanya.

BERITA HARIAN / Pertahan perundangan Islam di tempat tertinggi





2011/02/28

Kedudukan dalam perlembagaan tidak wajar diperlekeh

RAKYAT Malaysia lebih peka kepada hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang berkaitan. 

Perkembangan ini adalah baik kerana rakyat yang celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperguna oleh orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.
Prof Datuk Shad Saleem Faruqi mengkategorikan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada beberapa kategori, antaranya:
  • Hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka warga negara Malaysia atau tidak. Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, perkara 11 (kebebasan beragama) dan perkara 13 (hak terhadap harta). 
  • Hak yang hanya diberikan kepada warga negara saja seperti hak bersuara dan berhimpun dalam perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran Perkara 12. Hak ini hanya dinikmati oleh warga negara Malaysia saja. 
  • Hak yang dilindungi walaupun ketika darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak itu berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa. 
  • Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7, hak untuk mendapat ganti rugi jika tanah diambil dan Perkara 13, hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain hak termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara saja. Dalam situasi lain Perlembagaan menjamin hak ini dilindungi. 
  • Hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya. Oleh itu walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan sendiri.


Sebenarnya kategori itu mempunyai implikasi tersendiri menurut undang-undang. Perlembagaan adalah dokumen unik dan perlu diberi tafsiran supaya Perlembagaan itu ‘hidup’ dan sesuai diaplikasikan. 

Kaedah tafsiran Perlembagaan juga tidak sama seperti tafsiran undang-undang lain. Ia harus ditafsirkan secara harmoni dan tidak bertentangan antara satu sama lain. 

Namun, yang menarik perhatian penulis ialah kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman. 

Secara tersiratnya sudah tentu Perlembagaan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. 

Undang-Undang itu termasuklah undang-undang pentadbiran hukum syarak, undang-undang jenayah syariah, undang-undang keluarga Islam, undang-undang tatacara dan undang-undang keterangan Mahkamah Syariah. 

Oleh itu, tiada sesiapapun boleh mempertikaikan atau memandang rendah undang-undang ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. 

Natijah, sewajarnyalah jika ada pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain maka tafsiran memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai. 

Keabsahan undang-undang Islam yang sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir landskap perundangan negara kerana ia melupai sejarah perundangan negara dan kerangka Perlembagaan yang meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi. 

Suara mempertikaikan undang-undang Islam ini semakin nyaring kedengaran sehingga memberi gambaran suara itulah yang benar dan perlu dipatuhi. Undang-undang Islam seharusnya menjadi penambat undang-undang lain daripada dihakis. 

Jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk undang-undang keluarga Islam masih berkuat kuasa. 

Seharusnya pendekatan diambil ialah meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. 

Adalah penting bagi rakyat Malaysia bukan saja mengetahui hak yang tersurat tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara. 

Dalam perspektif lain, kita terlalu banyak memperkatakan mengenai hak, tetapi jarang bercakap mengenai tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Kita terlalu mementingkan diri menuntut hak tanpa mahu membuat pengorbanan melaksanakan tanggungjawab.

Thursday, February 24, 2011

Indahnya Seni Orang Melayu Kita








Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Teuku Iskandar 1970) memberikan makna silat ialah sejenis permainan dengan menggunakan ketangkasan dan mempertahankan diri, maksudnya ialah sejenis permainan atau sukan tradisi 
yang mempertarungkan dua orang pesilat yang mahir dalam ilmu bela diri samada menggunakan senjata atau tanpa senjata. Permainan tersebut untuk tujuan persembahan ataupun memilih pesilat yang terbaik. maka permainan silat atau sukan tradisi rakyat memerlukan kemahiran dan ketangkasan fizikal dan mental. Permainan ini diadakan di masa singgang, bertamat silat, majlis rasmi, nikah kawin atau kenduri kendara makan pulut yang diiringi dengan gendang bersilat. Permainan silat ini kerap dihubungkan dengan nama Silat Pulut atau Gayung Pulut kerana setiap pemain akan diberi cenderahati iaitu bunga telur yang disertakan sekepal pulut. Maknanya antara lain perkataan silat lebih dikenali dalam sosio budaya Melayu sebagai permainan tradisi rakyat, iaitu permainan yang dapat mengekalkan ilmu kepahlawanan atau seni perang Melayu dalam bentuk seni rakyat. Maka persembahan permainan silat atau pertandingan silat kerap diiringi paluan pergendangan silat yang kini dikenali sebagai Muzik Silat Baku Malaysia.

Makna silat sebagai seni persembahan atau Silat Pulut adalah mengikut tafsiran, kefahaman atau pemerhatian secara umum penyusun kamus tahun70an yang silat kerap dilihat sebagai seni persembahan atau satu permainan. Pengertian silat tidak menyentuh secara khusus sebagai perkhidmatan pendidikan silat atau satu permainan. Pengertian silat tidak menyentuh secara khusus sebagai perkhidmatan pendidikan silat atau sebagai ilmu kepahlawanan atau seni perang melayu yang hubungannya dalam isntitusi pertahanan negara. lagipun ketika itu silat telah lama terpinggir dari istana. Silat tidak mempunyai ruang dan kesempatan berkembang maju dalam kemajuan pertahahan sejajar dengan perkembangan negara lain di dunia. Penjajah barat seperti Inggeris misalnya telah memperkenalkan sistem pertahanan barat dengan menubuhkan mata-mata (polis) dan askar sepoi bagi menangani keselamatan negara yang ketika itu mendapat tentangan daripada bekas-bekas pejuang Melayu. dari itu, guru-guru silat amat berhati-hati menampilkan silat dalam masyarakat kerana penjajah mempunyai penafsiran dan pengalaman dalam perang menghadapi pahlawan silat Melayu.

Tidak pula melihat silat sebagai satu institusi pendidikan kepahlawanan Melayu dalam menyumbang kepada pembentukan sosio budaya melalui perndidikan silat tradisi gelanggan bangsal. sebagaimana terkenalnya pendidikan agama dalam masyarakat Melayu melalui institusi pondok. Dalam masyarakat Melayu tradisi dua institusi tersebut amat beasr sumbangannya dari aspek pembinaan jasmani dan rohani atau pembentukan ilmu dan kehidupan dunia dan akhirat. Gabungan institusi gelanggang bangsal dan pondok telah membentuk masyarakat Melayu tradisi yang serba kekurangan dapat mempertahankan nilai diri, budaya dan agamanya dari pengaruh penjajah yang silih berganti. Pendidikan cara hidup pendekar silat yang seimbang dari aspek ilmu, amal dan kemahiran silat dapat membentuk kesempurnaan hidup atau insan.

Pendidikan silat terus manghadapi transformasi pada peranan dan makna sosio budaya Melayu sesuai dengan masa dan keperluan masyarakatmya. Pendidikan silat menumpukan kepada pembangunan manusia dari luaran dan dalaman yang dapat membentuk masyarakat bersisiplin, berakhlak, kendiri, ikhsan, patriotisme, satria, jati diri dan kewarganegaraan yang boleh menyumbang kepada pembangunan pemikiran dan tenaga bangsa, agama dan negara.

Sejarah silat terpinggir dari istana, silat tidak lagi berkembang dalam isntitusi pertahanan negara sebagai mana asalnya, selama lebih kurang 460 tahun (T.M 1511 -1957). Silat kembali ke pangkuan masyarakat desa dan menumpukan pendidikan insan dan kemahiran mempertahankan diri tanpa senjata atau menggunakan tulang empat kerat untuk menghadapi lawan tanpa senjata atau bersenjata. Silat hanya meneruskan latihan kemahiran menggunakan senjata senjata tradisi seperti keris, pedang, golok, kerambit, lading, kelawang, tongkat dan sebagainya. bagi silat, snejata adalah alat yang boleh disesuaikan dengan keadaan dan keperluan. Ramai anak muda yang pandai bersilat menyertai pasukan polis dan askar Melayu. Disana mereka masih dapat berbakti kepada negara, Di mana sahaja mereka berada, ilmu silat dijadikan ilmu dalaman yang dapat membantu mereka menjadi pegawai dan pekerja yang baik serta produktif.








Apa yang penting kepada silat ialah siapa yang berada di belakang senjata atau memegang tugas. maka pendidikan sifat mengajar secara langsung atau tidak langsung memiliki pelbagai ilmu lain seperti ilmu firasat, pertolongan cemas, petua, adat sosial, psikologi, pemakanan, politik, sains, sejarah, agama, budaya, kenegaraan, kerohanian dan sebagainya atau ringkasnya ilmu dunia dan akhirat. Tujuan untuk melahirkan insan yang seimbang. Dengan sebab itu, penuntut silat diamanahkan untuk menjaga ilmu jangan sampai ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab, hendaklah mengamalkan ilmu dengan yakin dan menggunakan atau meletakkan ilmu di tempat yang betul






Wednesday, February 23, 2011

Utusan Malaysia / Isu Pulau Pinang : Demokratik?...Keadilan?....Islam?...


 Pulau Pinang: Demokratik? Keadilan? Islam?
BALIK Pulau Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas. Nampaknya ingatan atau sindiran sinis terhadap Melayu Pulau Pinang menghampiri kenyataan. Maksud sindiran itu boleh disamakan dengan peribahasa Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Balik Pulau boleh dianggap satu-satunya kawasan Melayu yang masih bertahan di pulau itu. Dulu Bayan Lepas juga pernah menjadi tumpuan Melayu. Tetapi disebabkan keperluan ekonomi, Bayan Lepas bertukar wajah. Ramai Melayu terpaksa ‘berhijrah’.
Kawasan itu akhirnya menjadi tempat anak-anak Melayu menjadi operator pengeluaran di kilang elektronik. Turut menumpang ialah anak-anak Melayu dari Kedah, Perlis dan Perak. Khabarnya ada juga Melayu yang tidak tahan tinggal di Bayan Lepas kerana faktor lain.
Mereka terpaksa ‘angkat kaki’. Apakah nasib yang sama akan menimpa Melayu Balik Pulau? Jika ini berlaku, sahlah sindiran yang menjadi mukadimah Selak hari ini.
Isu Melayu Pulau Pinang tidak pernah selesai. Melayu dihimpit pelbagai masalah seperti kampung diroboh, gerai perniagaan diranapkan, status tanah mahu ditukar dan macam-macam lagi. Keadaan ini menyebabkan Melayu Pulau Pinang terasa berlaku ketidakadilan.
Maka atas faktor itulah, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada satu majlis Tahun Baru Cina yang turut dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta kerajaan DAP memberi keadilan – bukan keadilan yang menjadi slogan politik – tetapi dalam bentuk tindakan dan peluang.
Di Pulau Mutiara itu, Melayu Pulau Pinang adalah minoriti. Ada minoriti dipinggirkan dan ada minoriti yang mendapat lebih perhatian daripada majoriti.
Melayu Pulau Pinang boleh menilai sendiri apa yang berlaku. Adakah silap sendiri atau kerajaan? Tanyalah diri sendiri seperti Hang Tuah bertanya kepada dirinya selepas Hang Jebat mati bertikam dengannya dalam filem Hang Tuah.
Hang Tuah bertanya: ‘‘Siapa yang benar. Jebatkah benar atau akukah (Hang Tuah) benar’’.
Kerajaan DAP dan Melayu ibarat durian dengan mentimun. Sebagai kerajaan, merekalah paling berkuasa.
Kembali ke Balik Pulau, sejak akhir-akhir ini timbul keresahan di kalangan orang Melayu khususnya orang UMNO di kawasan itu berhubung risalah My Balik Pulau yang didakwa mempunyai banyak fakta tidak tepat. Salah satu rencana bertajuk Jom! Ketahui Balik Sana Pulau! Balik Pulau juga digambarkan bukan dibuka oleh orang Melayu.
Ilustrasi dalam risalah itu juga menyakitkan. Melayu digambarkan seperti peminta sedekah, berpakaian compang-camping. Mereka meminjam wang ceti untuk membiayai upacara besar-besaran seperti majlis perkahwinan. Orang Cina pula dengan berpakaian kemas pinjam duit untuk buka perniagaan baru.
Begitulah gambaran yang diberi terhadap Melayu Balik Pulau.
Masing-masing menafikan bertanggungjawab menerbit atau menaja risalah itu. Sebagai catatan, pada risalah itu tercatat nama serta logo Arts Ed selaku penerbit manakala Majlis Pendidikan Pulau Pinang, Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Pulau Pinang dan syrikat telekomunikasi DiGi sebagai penaja.
Kerajaan negeri juga nafi.
Guan Eng dilaporkan berkata, peruntukan untuk risalah itu dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu. Maknanya kerajaan DAP boleh ‘cuci tangan’. Lainlah jika pelaburan berbilion ringgit yang masuk ke negeri itu hasil usaha sebelum 2008, maka bolehlah kerajaan DAP menadah tangan dan tumpang semangkuk meraikan kemasukan pelaburan itu walaupun ia adalah hasil usaha BN.
Dalam maksud lain, apa juga usaha kerajaan BN sebelum ini yang ‘dituai’ dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini maka bolehlah dikatakan usaha kerajaan DAP.
Macam pilih durian di Balik Pulau, semua yang baik masuk bakul sendiri dan yang tidak elok humban ke dalam bakul orang lain. Begitulah adat manusia terutama dalam politik.
Selain sejarah duka Melayu Balik Pulau itu, isu roboh gerai terutama milik Melayu juga semakin panas. Tentu kita masih ingat nasib gerai Do Re Mi, Three N Ikan Bakar, G-Station, Medan Ikan Bakar Gold Coast, Sunset Bistro dan banyak lagi.
Dulu semasa BN perintah, ada juga gerai yang diroboh bagi memberi laluan kepada projek pembangunan contohnya di kawasan Meriam Timbul Butterworth. Tetapi kerajaan memberi pilihan lain untuk berniaga. Kini keadaan jauh berbeza seolah-olah tidak ada kompromi. Sedangkan di dalam kedai, ada yang berani masuk bertindak secara angkuh, inikan pula gerai di tepi jalan. Lagak seperti ini menakutkan orang untuk makan di kedai atau gerai. Takut nanti meja diusung ketika sedang makan.
Apa nak jadi?
Lebih malang, dalam menegakkan undang-undang ciptaan manusia, Melayu bergasak sesama sendiri. Peniaga, penguat kuasa, polis bantuan semuanya Melayu. Yang kena kosongkan gerai Melayu, yang kena belasah Melayu dan yang kena tahan Melayu. Malang sungguh Melayu.
Jangan pula keluh kesah ini akan dianggap rasis . Setiap tindakan yang hendak diambil mestilah secara adil supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Janganlah seperti kuman di seberang lautan nampak gajah di pelupuk mata tiada tampak.
Siapa pun akan marah apabila sudah berpuluh tahun berniaga tiba-tiba dalam tempoh tiga tahun keadaan berubah. Lebih terasa tentunya penyokong Pas yang turut dikenakan tindakan. Sudah tentulah baginya sokongan membawa rebah.
Hakikatnya tidak sampai satu penggal kerajaan pakatan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas), macam-macam hal berlaku. Di manakah suara yang sering melaungkan soal tindakan secara demokratik, adil dan berlandaskan Islam?
Sebelum menyelak pintu Selak ini, kepada umat Islam diucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul esok. Tema kali ini ialah 1Malaysia 1Ummah. Bagaimanapun Pulau Pinang menolak tema ini sebaliknya menggunakan tema Wasatiyyah Tonggak Kecemerlangan Ummah.
Tahun lalu, Pulau Pinang juga mengejutkan banyak pihak berhubung sambutan ini. Rasanya tidak perlu diselak semula ‘kekalutan’ yang berlaku. Apa yang ingin diselak di sini mengenai perkataan 1Malaysia yang menakutkan kerajaan DAP Pulau Pinang sama seperti ‘ketakutuan’ kerajaan PKR Selangor sebelum ini.
Entah apa salah dan dosa 1Malaysia. Entah apa yang dibimbangkan dengan 1Malaysia ini. 1Malaysia sama seperti SeMalaysia. Moga-moga selepas ini Pas pula tidak dipaksa menggugurkan perkataan SeMalaysia yang juga membawa maksud 1Malaysia. Apa pun terima sajalah tema Wasatiyyah Tonggak Kecemerlangan Ummah yang membawa maksud kesederhanaan dalam Islam. Apa yang penting, sambutan. Jangan pula ada puak nakal menaikkan sepanduk yang terpampang 1Malaysia semasa perarakan esok.
Kecoh satu pulau nanti! Terlanjur menyentuh wasatiyyah yang diguna oleh Pulau Pinang kali ini, bagi yang kurang faham bolehlah selak semula ucapan dasar Presiden UMNO, Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO Kali Ke-61 pdaa 21 Oktober 2010. Ucapan Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran itu menyentuh sepintas lalu mengenai wasatiyyah. Ucapan pembukaannya dimulakan dengan firman Allah SWT.
Pertama: “Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi atas perbuaan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu”. - Maksud surah Al-Baqarah, ayat 143.
Satu lagi yang elok menjadi renungan termasuklah kerajaan Pulau Pinang yang mendakwa mahu mencontohi pemerintahan salah seorang khalifah Islam, iaitu “Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu,”.
Bagi memahami lagi mengenai wasatiyyah, elok juga pembaca menyelak majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) isu 03September/Oktober10 . Terdapat beberapa ungkapan Najib mengenai wasatiyyah. Begitu juga artikel berkaitan termasuklah Wasatiyyah bukan bererti menyerah kalah (Dr. Ismail Ibrahim - Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, (UKM), Wasatiyyah meredakan hubungan antara kaum & agama (Aziz Jamaludin Mhd Tahir – Yang Dipertua Yadim), Memahami Wasatiyyah (Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah – Pensyarah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM), Apakah kepentingan Wasatiyyah? (Prof. Dr. Idris Zakaria – Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumbi Fakulti Pengajian Islam UKM), Ke arah merealisasikan konsep wasatiyyah (Mohd Shauki Abdul Majid – Ketua Editor Dakwah), Wasatiyyah dalam konteks 1Malaysia (Kapt.(B) Dr. Shamsuddin Moner – Pengurus Besar Operasi Yadim). Terdapat juga wawancara bersama Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa bertajuk Wasatiyyah: Membangun Kecemerlangan bersama.

Utusan Malaysia Online - Keluarga

Tanggapan salah akan wanita Islam





Lauren Booth
BornSarah Booth
22 July 1967 (age 43)
IslingtonLondonEngland
OccupationJournalist
Spouse(s)Craig Darby
ChildrenAlexandra Booth, Holly Booth
Notable relativesTony Booth (father)
Pamela Smith (mother)
Cherie Booth (half-sister)
Religiousbelief(s)Islam [1][2]


Booth mengakui beliau pernah memandang rendah wanita Islam sebelum memeluk Islam. Bagaimanapun, lawatan ke negara-negara Asia Barat atas kapasiti beliau sebagai aktivis hak asasi manusia, mendedahkan kepada beliau kepada personaliti sebenar seorang wanita Islam.
Mengenang semula lawatan beliau ke Lebanon pada 2007 untuk menemubual seorang pemerintah militia Hezbollah, Booth berkata beliau bersua dengan beberapa orang siswi, yang berhijab penuh, begitu lantang bersuara dan pintar.
"Mereka bukannya wanita yang hidup dalam ketakutan, yang akan dipaksa berkahwin dengan seorang yang tidak diingininya seperti yang digambarkan oleh mereka di Barat.
"Mereka mengiringi saya untuk menemubual seorang sheikh. Saya kagum betapa bebas mereka mencelah semasa beliau berbicara, dengan sekali-sekala mengangkat tangan untuk meminta beliau berhenti sebentar untuk membolehkan mereka menterjemah untuk saya," katanya.
Di UK pula, Booth berasa kagum dengan perbezaan kekuatan wanita Islam berbanding yang bukan Islam.
Rakannya, seorang ibu muda dengan dua orang anak boleh menguruskan keluarga pada waktu siang dan belajar untuk ijazah perubatan pada sebelah malam. Pada hujung minggunya pula beliau masih mampu menjalankan kerja sukarela.
"Berbanding dengan seorang rakan bukan Islam saya dengan hanya seorang anak, tidak mampu meneruskan kerja sambilannya tanpa bersungut, tidak memasak untuk keluarga, apatah lagi melakukan kerja-kerja sukarela," ujar Booth.
Booth percaya tenaga bagi menjaga keluarga dan menjalankan kerja sukarela datangnya daripada solat.
"Saya juga rasa ia hasil daripada kebijaksanaan dan tidak meminum arak," ketawa beliau.

Utusan Malaysia Online - Keluarga

Agama tidak popular di UK
Booth berkata, frasa hidup pada Zaman Jahiliah lazim digunakan dalam menggambarkan cara hidup Islam.
Sebaliknya, cara hidup British dan Amerika adalah dianggap sebagai moden dan sesuatu yang didambakan.
Islam dianggap sebagai tidak sesuai dengan nilai-nilai British, yang sebelumnya bersifat Kristian, tetapi kini tidak lagi diamalkan dalam apa-apa cara yang bermakna.
Booth sendiri sebelum ini ialah seorang Yahudi, tetapi berkata beliau dibesarkan tanpa penekanan kepada agama. Beliau mendakwa kebanyakan anak orang kulit putih di Britain tidak mempunyai agama. Ibu bapa akan menandakan anak mereka sebagai Kristian di ruang bancian hanya kerana ia menjadi kebiasaan.
"Yang pastinya, semasa generasi saya membesar, tiada siapa yang memastikan diri mereka ke gereja setiap Ahad. Namun ketika saya kecil saya suka berdoa.
"Semasa berusia tujuh tahun, saya akan merapatkan kedua-dua tangan untuk berinteraksi dengan Tuhan.
"Kami beranggapan bahawa kami lebih kaya dari segi emosi dan psikologi berbanding wanita Islam.
"Tetapi dalam masyarakat kami ini, kebebasan bermakna kebogelan," katanya.
Beliau berkata seorang wanita di Britain merasa berhak untuk mendedahkan tubuhnya sebanyak mana dan pada bila-bila masa yang dikehendakinya.
"Kami juga ditanam dengan perasaan perlu untuk kelihatan cantik di hadapan lelaki pada setiap peringkat usia, sehinggalah zaman pencen. Jika anda tidak berusaha mengghairahkan setiap lelaki yang anda temui dan menarik perhatian mereka secara seksual, anda dianggap tidak menjaga badan.
"Panggilan yang paling teruk ialah jika anda dikatakan seperti mak orang. Peranan sebagai ibu dianggap sebagai jalan mati. Cubalah bayangkan," katanya.
Beliau berkata, sememangnya sesuatu yang menyedihkan apabila seseorang wanita itu dianggap tiada aspirasi selain hanya untuk kelihatan cantik bagi lelaki.
"Ini seolah-olah mengatakan, kalau sudah tidak cantik, tiada lagi yang boleh didambakan selain kematian. Tiada peranan lain dalam masyarakat untuk wanita selain untuk kelihatan seksi dan cantik sahaja.
"Tetapi ingat, ini yang dikatakan kebebasan."

Utusan Malaysia Online - Keluarga

Bogel satu kebebasan di UK

Lauren booth merupakan aktivis yang memperjuangkan nasib rakyat palestin.


SERATUS ribu orang di United Kingdom telah memeluk Islam dalam sedekad yang lepas, kata wartawan penyiaran, Lauren Booth.
Bagaimanapun reaksi media di Britain mengenai pendedahan ini dan perkara lain berkaitan dengan Islam adalah dramatik dan negatif. Sehinggakan The Independent - akhbar Britain yang terkenal dengan pendekatan neutral - sanggup melabel penyebaran Islam sebagai 'PengIslaman Britain'.
Panggilan ini tentu sahaja mampu menimbulkan kegusaran banyak pihak yang selama ini menganggap Islam satu agama yang ekstremis.
"Ingat", kata Booth, "ini bukan risalah perkauman yang diedarkan oleh masyarakat di pinggiran, ini akhbar utama yang sangat disegani.
"Ia membuatkan anda terfikir bahawa memeluk Islam bukan sesuatu tindakan yang popular," katanya tergelak, merujuk kepada fitnah yang dilemparkan oleh media British terhadapnya sejak memeluk Islam tahun lepas.
Satu petikan dari The Independent mendedahkan bagaimana negatifnya pandangan rakyat British terhadap tindakan beliau memeluk Islam dengan mengajukan soalan ini kepada Booth: "Wanita jenis apa yang sanggup memeluk agama yang menganjur penyeksaan, penindasan dan pembunuhan beribu-ribu orang Kristian, homoseksual dan wanita yang berfikiran bebas di seluruh dunia?" "Ini langsung tidak masuk akal," kata Booth kepada hampir 300 hadirin semasa syarahan umum di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, baru-baru ini. "Tiada langsung pemikiran kritikal yang digunakan apabila bercakap tentang Islam. Tiada seorang pun yang bertanyakan soalan-soalan kerohanian seperti "Bagaimanakah sifat Allah?" "Apa yang anda tahu tentang Nabi (Muhammad)?" "Apakah maknanya jika kita sembahyang lima kali sehari?" "Adakah Islam spiritual? Saya teringin betul ditanya soalan-soalan sebegini.
"Sebaliknya, selepas saya habis sesuatu temubual di Britain, soalan yang biasa diajukan adalah "Adakah tudung yang anda pakai itu ketat?" atau "Tak rindu ke nak pergi pub?"