Sunday, February 27, 2011

BERITA HARIAN / Generasi lama, baru perlu cari titik persamaan perkasa Melayu

2011/02/28

Bangsa bermaruah mesti kukuhkan hak diperuntuk dalam Perlembagaan

UNGKAPAN  ‘takkan Melayu hilang di dunia’ mungkin tidak lagi bermakna satu masa nanti, sekiranya generasi baru bangsa majoriti bumi bertuah ini enggan meneruskan perjuangan mempertahankan hak yang selama ini dipelihara kemas Perlembagaan Persekutuan. 

Beberapa pemimpin veteran meluahkan kebimbangan terhadap kemunculan golongan yang melabel diri sebagai ‘Melayu liberal’ kerana majoriti kumpulan ini berasa bangsa Melayu tidak lagi perlu diberi sebarang merit atau perlindungan, dan perlu bersaing di pentas sama rata dengan bangsa lain.
Sukar untuk menyangkal pendapat kedua-dua golongan ini.
Generasi sebelum atau selepas merdeka yang turut terbabit secara langsung dalam proses pembangunan negara, sudah pasti bimbang dengan trend pemikiran generasi baru, yang lahir dan terus mengecap kemewahan pembangunan tanpa perlu bersusah payah. 

Manakala, generasi XY yang dilahirkan dalam suasana Malaysia serba mewah dan makmur, juga sudah pasti tidak faham mengapa perjuangan untuk bangsa perlu diteruskan, sedangkan semakin ramai mampu bersaing, malah bertindak lebih cemerlang daripada bangsa lain. 

Dilema kedua-dua kumpulan ini harus difahami dan ditangani dengan serius kerana pertembungan pendapat perlu mencapai satu titik persamaan bagi memastikan ungkapan Laksamana Hang Tuah ‘takkan Melayu hilang di dunia’ akan terus kekal selama-lamanya. 

Kumpulan yang perlu dibimbangi ialah golongan minoriti Melayu baru, yang menganggap diri mereka tidak memerlukan lagi tongkat dan bantuan untuk duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. 
Simposium Dilema Melayu baru-baru ini menyerlahkan pertembungan idea antara generasi lama dan baru ini, tetapi isu yang dibincang masih membabitkan soal perjuangan lama seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kuota 30 peratus Bumiputera, isu pendidikan negara dan pertikaian hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan. 

Isu kemunculan semakin ramai Melayu liberal juga dibincang dengan serius kerana keghairahan mereka menegur pelbagai dasar dan keputusan membabitkan kepentingan bangsa Melayu, tanpa menimbang impak yang mungkin berlaku. 

Golongan veteran yang hadir sebagai panel penceramah hanya mampu tersenyum melihat keghairahan bekas dan mahasiswa Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) bertanya soalan terutama membabitkan kuota 30 peratus Bumiputera yang tidak mencerminkan kedudukan majoriti bangsa Melayu, mengapa ‘kita’ terlalu berlembut dengan bangsa lain, dan mengapa bangsa Melayu terus berpecah. 

Bagaimanapun, kedua-dua kumpulan berbeza peringkat umur ini bersetuju atas satu perkara iaitu sudah tiba masa untuk bangsa Melayu tidak mengira puak, parti atau ideologi politik bersatu sebagai satu bangsa bermaruah dan mengukuhkan kedudukan sesuai dengan hak yang diperuntukkan Perlembagaan. 

Ramai bersetuju dengan Pengerusi Eksekutif Media Prima, Datuk Johan Jaafar, yang menegaskan bangsa Melayu telah memasuki abad ke-21, ia tidak lagi mampu untuk terus merintih dan meletakkan diri dalam pelbagai dilema. Sebaliknya, bangsa yang pernah dijajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun ini perlu memperkasakan diri dan menetapkan hala tuju masa hadapan yang lebih konkrit. 

Bangsa Melayu kita tidak kurang kehebatannya daripada bangsa lain, tetapi ramai antara kita ketepikannya. Sebaliknya ramai berasa bimbang, risau dan menganggap kita sentiasa menghadapi suasana yang cukup gawat. 

“Hakikat paling penting di sini ialah kita bukan lemah, tetapi gagal mengartikulasikan diri kita dan mewujudkan kekuatan sebenarnya yang seharusnya wujud di dalam diri setiap bangsa Melayu,” kata tokoh media ini. 

Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid pula meminta golongan muda tidak ‘tergila-gila’ marahkan kegagalan mencapai kuota 30 peratus yang ditetapkan DEB, kerana ia hanya angka. 

“Kita sebenarnya perlu melihat kepada angka lebih besar, 40 atau 50 peratus, kerana bangsa Melayu adalah penduduk majoriti tetapi kerana hanya melihat di permukaan maka kita sering terkeliru. 

“Contohnya, angka 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad asalnya bermakna ‘perfect vision’ (penglihatan sempurna) tetapi yang menterjemahkannya bercakap mengenai tahun, akhirnya kita hanya akan menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya. 

Tan Sri Isa Samad yang dikritik Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, atas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda yang didakwa memberi isyarat tidak sihat kepada pelaburan negara, tidak dapat menahan diri daripada menegur beberapa pegawai GLC yang memandang remeh perjuangan bangsa Melayu. 

Kini sudah wujud orang Melayu yang tidak sedar atau menolak (hakikat) bahawa mereka orang Melayu. Jika kumpulan ini dibiarkan tanpa ditegur, Melayu mungkin tidak hilang di dunia tapi Melayu ‘jenis’ apa yang akan wujud nanti. 

Apabila Melayu lemah atau Melayu diperkudakan oleh orang lain, maka orang Melayu akan kehilangan hak dan kedudukannya,” kata Isa. 

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula menegaskan, bangsa lain semakin kuat dan lantang kerana mereka sentiasa mencari jalan untuk memastikan hak mereka sebagai bangsa Malaysia tidak diperlekehkan. 

“Sudah tiba masa bangsa Melayu sebagai pribumi mengambil tindakan yang sama. Jangan mendabik dada dengan kedudukan majoriti pada lebih 60 peratus kerana peratusan bangsa lain juga semakin bertambah dengan serius. 

Jangan lagi percaya kepada kata-kata Hang Tuah - ‘Takkan hilang Melayu di dunia’ kerana jika Melayu tiada jati diri dan nilai hidup yang baik, orang Melayu akhirnya akan lenyap,” katanya.

1 comment:

  1. assalamualaikum...
    aku setuju ngn apa yang terdapat dalam artikel dia tas nih...ya la..mmg mcm tu pon skarang ni..nama ja melayu...tapi mana hilangnya jati diri orang melayu..sedih bila memikior ada diantara anak sebangsa ngn aku hanyut hingga hilangnya jati diri memasing...ap nak jadi?...siapa nak dipertanggungjawabkan ttg perkara ni?...dari mana patut bermulanya?..siapa yang patut tanam jati diri supaya tak hilang dari diri kita?....itulah hakikat kita orang melayu sekarang..walaupun ada yang berjaya..takkan kita hanya nak bergantung kepada mereka?..mana usaha kita...?...berubahla....sedarlah..agar kita tidak lagi ditindas...di bumi merdeka sendiri...

    ReplyDelete