Sunday, February 20, 2011

myMetro | Minda: Masyarakat terencat jika miskin budi bahasa

KERAJAAN sudah mengadakan pelbagai kempen berkaitan dengan amalan berbudi bahasa.
Ini termasuk Bulan Budi Bahasa sebagai satu usaha menyedarkan masyarakat betapa penting unsur budi bahasa diterapkan sebagai amalan peribadi. Malah, kita sering membaca slogan seperti Berbudi Bahasa Budaya Kita dan Bahasa Menunjukkan Bangsa. Setakat mana kesedaran kita berhubung kempen itu? Adakah amalan berbudi bahasa semakin menyerap ke dalam jiwa kita atau kita masih memandang remeh akan hal berkenaan? Berbudi bahasa dapatlah diertikan sebagai percakapan yang baik, elok dan bersopan, berhemah, beradab, bersopan santun, bertatatertib, bersikap lemah lembut, tingkah laku baik dan mempunyai akhlak yang murni. Jadi, dilihat dari segi definisinya budi bahasa begitu luas skopnya meliputi segenap kehidupan manusia.

Dalam ajaran Islam, amalan berbudi bahasa diletakkan pada kedudukan yang tinggi dan amat digalakkan. Malah, pembangunan sesebuah masyarakat atau negara tidak sempurna tanpa rakyatnya berbudi bahasa.
Imam Bukhari ada merekodkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saiditina Aisyah.

Kata Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan daripada kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.” Rasulullah dalam usaha membawa syiar Islam di bumi Arab dahulu sentiasa meninggalkan kepada contoh teladan berkenaan amalan budi bahasa yang mulia. Dikatakan nabi sentiasa menyambut tetamunya dengan kata-kata yang lemah lembut sekalipun tetamu yang mengunjungi baginda sudah dikenali orang sebagai orang yang berperibadi buruk. Inilah sifat dakwah baginda sebagai ubat penawar menjinakkan jiwa manusia agar mengikuti ajaran yang dibawanya.

Aisyah juga ada menceritakan satu kisah yang katanya: “Sesungguhnya seorang lelaki meminta izin untuk masuk berjumpa Nabi. Lantas Nabi menjawab: ‘Persilakanlah masuk’. Dia adalah lelaki yang berperangai buruk daripada sebuah keluarga. Tatkala lelaki tersebut masuk berjumpa nabi, kemudiannya nabi menyambutnya dengan kata-kata yang lemah lembut. Aisyah kemudiannya melontarkan pertanyaan kepada baginda: ‘Wahai Rasulullah, mengapa kamu (baginda) bercakap dan bersikap selembut itu?’ Apa kata nabi apabila mendengar pertanyaan isteri kesayangannya itu? Kata nabi: ‘Wahai Aisyah, sesungguhnya orang yang kedudukan paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah orang yang dijauhi atau orang yang ditinggalkan oleh orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya (orang yang buruk tutur kata dan tingkah lakunya).’” (Hadis riwayat Bukhari) Ini adalah teladan terbaik buat kita semua yang hidup zaman mutakhir ini agar menjadikan amalan berlemah lembut dan berbudi bahasa sebagai teras keperibadian.
Sebenarnya seseorang yang bersikap berbudi bahasa luhur akan disenangi oleh orang ramai dan secara tidak langsung akan dapat membina satu kehidupan sosial yang sejahtera aman damai.

Jadi dalam era pembangunan moden yang sedang kita kecapi kini, sikap berbudi bahasa mesti diutamakan kerana masyarakat yang kontang dengan sikap mulia itu akan mengundang pelbagai kerencatan dan kemudaratan kepada sesama manusia, malah pembangunan itu menjadi tidak bermakna.
Kita sebagai hamba Allah sewajarnya menjadikan sikap berbudi bahasa sebagai satu saluran gambaran akal budi dan keindahan sosial. Matlamat Malaysia menuju pencapaian sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 sudah menggariskan nilai moral sebagai tunjang utama.

Ini disebabkan kemuliaan dan kebahagiaan sesuatu masyarakat atau bangsa itu banyak bergantung kepada pengamalan sikap mulia seperti berbudi bahasa.

Dalam usaha pembangunan dan kemajuan, fokus pembangunan nilai berbudi bahasa tidak boleh dilupuskan begitu sahaja malah perlu sentiasa diperkasa setiap masa. Masyarakat yang rosak sikap budi bahasa akan menjerumuskan negara ke kancah tidak sihat dan melambangkan keburukan wajah negara.

Tamadun sesuatu bangsa tidak dicipta hanya dengan pembangunan material semata-mata, tetapi penonjolan nilai budi bahasa rakyatnya yang menjadi pencorak kepada keberkesanan pembangunan dan tamadun itu.

Kita sebagai umat contoh lagi terbaik di sisi Allah mesti mengupayakan diri untuk mempamerkan sahsiah peribadi terunggul dan kaedah pertama yang patut dilakukan ialah melalui pendekatan lisan.

Dalam usaha kita mengejar kemajuan dalam apa jua bidang baik ekonomi, politik atau pendidikan, kita sebagai mukmin mesti sentiasa menjadikan sikap berbudi bahasa dengan amalan adab sopan murni, tutur kata yang elok, penampilan wajah tersenyum yang menyenangkan dan bertatasusila sebagai sahsiah peribadi.

Nilai budi bahasa akan menjadi kayu pengukur utama tahap kemuliaan seseorang dengan manusia yang lain. Melalui sikap berbudi bahasa akan dapat membina kehidupan ummah yang sihat, sejahtera dan mampu memperkasakan tamadun tinggi. Sesungguhnya amalan nilai berbudi bahasa adalah amalan bersifat universal dan semua agama di dunia ini turut menekankan agar penganutnya mengamalkan nilai peribadi ini dalam kehidupan.

Misalnya dalam agama Buddha ada dinyatakan: ‘Words have the power to both destroy and heal. When words are both true and kind, they can change our world’.

Jadi, jelaslah di sini bahawa amalan berbudi bahasa seharusnya dijadikan sifat umat sejagat kerana ia mampu mencorak kehidupan manusia untuk hidup lebih harmoni dan positif.

Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa, Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi, runtuhlah bangsa Kepada kita semua rakyat Malaysia mari kita hayati sebahagian daripada lirik kata dalam lagu Budi Bahasa Budaya Kita, lagu yang diciptakan oleh Suhaimi Md Zin atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah ini.

Bangsa Malaysia berhemah tinggi,
Ramah dan mesra elok pekerti,
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi,
Bertimbang rasa, hormat-menghormati.



>Penulis seorang guru

No comments:

Post a Comment